Logo JHEV

LABIS, 27 April 2014 - Pesara tentera boleh memainkan peranan menarik minat golongan muda untuk menyertai kerjaya dalam bidang ketenteraan sebagai kesinambungan terhadap perjuangan serta pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan negara sewaktu masih berkhidmat dahulu.

Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Labis, Abrin Mohd. Shah berkata, walaupun mereka tidak lagi memikul senjata berjuang di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan negara, sumbangan melalui pende­katan berbeza boleh dilakukan dalam memastikan golongan muda menceburi bidang ketenteraan.

"Usaha tersebut boleh dilakukan sebagai kesinambungan perjuangan yang pernah mereka lakukan untuk mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang ancaman sepanjang ber­khidmat sebagai anggota tentera.

"Sumbangan terhadap negara juga boleh dilakukan dengan pelbagai cara terma­suk memberikan gambaran terbaik terhadap kerjaya tentera di mata masyarakat selepas menamatkan perkhidmatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pe­nyampaian Pingat Jasa Malaysia di Kampung Sungai Gatom, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 25 pesara tentera menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai mengenang jasa mereka mempertahankan kedaulatan negara sepanjang berkhidmat sebagai anggota tentera.

Menurut Abrin, kebanyakan anak muda hari ini tidak begitu berminat menyertai pasukan tentera kerana kurang pendedahan yang diberikan kepada mereka contohnya mengenai keistimewaan yang bakal mereka peroleh.

Tambahnya, bidang ketenteraan di minda masyarakat begitu sinonim dengan pe­perangan yang memberi pelbagai gambaran kurang menyenangkan dalam kalangan ibu bapa khususnya walaupun perkara sebenar mengenai tentera adalah jauh berbeza dengan pandangan mereka.

"Dalam tentera terlalu banyak peluang untuk kita membina kerjaya dalam bidang tertentu seperti kejuruteraan, juruterbang dan perubatan serta banyak lagi setanding dengan bidang tertentu di luar. Justeru, pesara tentera merupakan golongan terbaik yang boleh memberi gambaran sebenar berdasarkan pengalaman mereka sendiri," katanya lagi.

 

Sumber : Utusan