Prihatin terhadap kesukaran hidup yang dihadapi oleh veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen dalam meneruskan kehidupan, peruntukan RM50 juta disediakan bagi melatih dan membimbing golongan tersebut meningkatkan sosioekonomi mereka melalui perniagaan atau pekerjaan.

Bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang dihasratkan, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) diberi tanggungjawab memenuhi keperluan tersebut termasuk penglibatan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan pihak swasta.

Pengerusi Perhebat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata, ia dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen dengan menetapkan enam sasaran untuk dicapai iaitu lonjakan usahawan sedia ada, mewujudkan usahawan baru dan menarik minat menjadi usahawan.

Selain itu, katanya, ia turut meliputi memperkukuh kebolehan pasaran guna tenaga, mengadakan kolaborasi, promosi dan publisiti serta memperkukuh penyelidikan dan pembangunan serta pangkalan data.

“Program yang diadakan ini merupakan sebahagian daripada fungsi agensi iaitu menjalankan dan menguruskan bentuk aktiviti yang berkaitan dengan proses latihan bagi anggota yang bakal pesara dan pesara ATM, seperti mengadakan kemudahan latihan, melaksana, mengawal selia dan pelaporan program latihan yang berkaitan,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kompleks Perhebat Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Menurut Abdul Aziz, Perhebat sebagai pusat latihan bakal pesara dan pesara ATM menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penginapan, sajian dan yuran pengajian percuma kepada golongan itu yang mengikuti latihan kemahiran dan bagi tujuan itu, sebanyak 35 kursus meliputi teknikal dan vokasional, pengurusan dan sektor perkhidmatan disediakan.

“Pesara dan bakal pesara ATM boleh memilih kursus yang sesuai dengan mereka berdasarkan perancangan mereka setelah bersara kelak kerana program yang diadakan mengikut latihan kemahiran, khidmat nasihat dan modul perniagaan atau perusahaan.

“Antara kursus yang agak popular adalah kategori teknikal dan vokasional seperti penyejuk bekuan dan penyaman udara juruelektrik, sistem keselamatan mekanikal dan elektrik, mekanik kenderaan motor dan jurubina bangunan. Kesemua kursus mengambil masa selama 18 bulan.

“Bagi bukan teknikal seperti pembantu penyedia makanan, masakan profesional, kontraktor pembekal makanan dan bahan mentah, pembantu penyelia bakeri dan pembantu penyedia pastri,’’ katanya.

Menurut Abdul Aziz, Perhebat turut giat menjalankan kerjasama pintar dengan agensi kerajaan dan swasta atau penyedia latihan atau konsultan bagi memastikan program latihan yang disediakan memenuhi keperluan industri sekali gus menjamin kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan .

Katanya, walaupun segelintir pesara dan veteran ATM masih tidak mengetahui kemudahan yang disalurkan oleh Perhebat, pihaknya sentiasa berusaha menarik lebih ramai penglibatan serta minat golongan terbabit untuk menguasai ilmu kemahiran dan memiliki skil kehidupan bersesuaian dengan keperluan semasa agar golongan itu tidak tercari-cari peluang kerjaya kedua.

 

Sumber : Utusan Malaysia