KUALA LUMPUR- Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan cadangan membina rumah kebajikan khusus untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kurang bernasib baik.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Mohd Johari Baharum berkata, pihaknya akan meneliti dan mengkaji cadangan membina rumah kebajikan itu yang boleh ditadbir urus Persatuan Veteran ATM apabila siap kelak.

Beliau berkata, ada golongan veteran ATM kurang bernasib baik dikesan tinggal di rumah orang tua dan ada yang tinggal bersendirian tanpa jagaan.

“Golongan ini perlu dibantu yang mana kita (kerajaan) akan mempertimbangkan membina rumah kebajikan untuk mereka,” katanya selepas mendengar taklimat diberikan Persatuan Veteran ATM, di Wisma Pahlawan di sini, semalam.

Selain itu katanya, persatuan veteran ATM yang ada di negara ini perlu digabungkan menjadi sebuah persatuan veteran bagi memudahkan segala bantuan dan insentif dihulur kerajaan kepada mereka.

Menurutnya, kewujudan pelbagai persatuan veteran ATM menyukarkan bantuan diberikan selain tidak praktikal.

“Jika terlampau banyak persatuan akan sukarkan bantuan diberikan. Saya cadangan persatuan veteran yang ada bergabung menjadi satu,” katanya.

 

Sumber : Harian Metro