BEAUFORT 21 Feb. - Jasa dan pengorbanan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah dilupakan, malah kerajaan berusaha memastikan kehidupan bekas perwira negara itu mendapat pembelaan sewajarnya terutama bagi individu yang mengalami kesempitan hidup.

Menyedari hakikat itu, seramai tiga pesara ATM di daerah ini menerima bantuan rumah di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS) di Dewan Mini Perpustakaan di sini semalam.

Salah seorang penerima bantuan, Mohd. Lajim Abdullah, 62, ketika ditemui melahirkan rasa syukur apabila terpilih menerima sebuah rumah di bawah program tersebut.

Lajim yang berasal dari Kampung Rancangan Klias berkata, bantuan rumah melalui NBOS yang diterimanya itu disifatkan sebagai satu rahmat besar daripada kerajaan di atas pengorbanannya semasa berkhidmat dalam ATM suatu masa dahulu.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan terhadap pengiktirafan ini kerana membela nasib dan kebajikan pesara serta veteran yang telah tamat perkhidmatan dalam ATM.

"Tiada kata dapat menggambarkan kegembiraan saya ini dan hanya ucapan terima kasih sahaja yang mampu diucapkan kepada kerajaan kerana tidak meminggirkan golongan veteran dengan memberikan tempat tinggal yang selesa dan baik untuk keluarga saya," kata beliau.

Dalam majlis itu, kira-kira 30 orang daripada bekas perwira negara dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kerana telah menyabung nyawa mempertahankan kedaulatan negara sebelum ini.

Penyerahan pingat dan kunci rumah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Kamarlin Ombi yang juga Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Sabah, Leftenan Kol. Adnan Ariffin; Timbalan Pengarah Operasi Kementerian Pertahanan negeri, Normah Fazal Rahman; Pegawai Pemerintah Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja, Mejar Zahari Zakaria dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Negeri Sabah, Sanon Sapri.

Sementara itu, salah seorang penerima PJM, Jaafar Asin, 63, menyifatkan penganugerahan itu sebagai satu penghormatan besar kerajaan kepada dirinya atas pengorbanan menjaga keselamatan negara daripada diceroboh pihak komunis.

Dalam pada itu, Kamarlin menggesa rakyat agar sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan bekas tentera sehingga sanggup meninggalkan keluarga demi keamanan negara sejak zaman penjajah sehingga era peperangan menentang pengganas komunis.

"Pengorbanan bekas tentera terlalu tinggi nilainya sehingga keamanan dapat dikecapi generasi hari ini dan harus kita sanjung sepanjang masa," katanya.

 

Sumber: Utusan Melayu