KUALA LUMPUR - Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah hari ini berkenan berangkat menghadiri Sambutan Hari Pahlawan 2015 yang dijalankan secara penuh istiadat di Dataran Merdeka di sini.

Ketibaan Seri Paduka berdua pada pukul 8.30 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta menteri Kabinet yang lain.

Seramai 531 orang terlibat dalam perbarisan tersebut terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Sebaik tiba, Seri Paduka memeriksa kawalan kehormat utama terdiri daripada anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Mejar Herdi Ismail dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Upacara sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan tiupan ‘Paluan Akhir’ dengan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik untuk mengenang mereka yang telah terkorban demi mempertahankan negara.

Hadirin kemudian disajikan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawan’ oleh Deputi Superintenden, Rose Baini Kassim dan Asisten Superintenden, Mohamed Mahat.

Selepas itu, sambutan diteruskan dengan persembahan pantomin yang mengisahkan serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Kuala Krau, Pahang pada 26 Jun 1948 yang penuh dengan adegan menyentuh perasaan.

Sambutan diteruskan dengan persembahan kisah Asisten Superintenden, Mohd. Zabri Abdul Hamid dari Platun 69 Komando yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir menentang komunis di Sungai Siput, Perak dalam Ops Bamboo 2 pada tahun 1975.

Acara kemudiannya diteruskan dengan tiupan ‘Paluan Fajar’ iaitu Jalur Gemilang dinaikkan sebagai tanda memberi semangat kepada anggota tentera dan polis yang masih hidup untuk terus mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Seterusnya, ‘Daulat Tuanku’ dilaungkan sebanyak tiga kali sebagai simbolik bukti taat setia anggota pasukan keselamatan dan rakyat di bawah naungan baginda.

Istiadat tahun ini merupakan sambutan kali kelima berlangsung di Dataran Merdeka selepas berpindah dari Tugu Negara pada tahun 2010. Tahun lepas sambutan itu diadakan di Kem Perdana Sungai Besi.

 

Sumber : Utusan Malaysia