Logo JHEV

MELAKA 10 Jan. - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan 800 rumah veteran tentera akan dibina dan dibaik pulih dalam tempoh empat tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud berkata, tahun lalu 200 rumah berjaya disiapkan, iaitu 130 rumah baharu dan 70 rumah dibaik pulih di seluruh negara dengan kos keseluruhan RM7.5 juta.

Menurutnya, pihaknya yakin mampu membina dan membaik pulih 200 rumah veteran tentera tahun ini, diikuti masing-masing 200 buah setiap tahun hingga 2017.

"Projek bina semula dan baik pulih rumah veteran tentera ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sebagai usaha kerajaan menjaga kebajikan golongan bekas tentera.

"Kos pembinaan dan baik pulih rumah ini dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan projek dilaksanakan sepenuhnya Kor Jurutera Diraja ATM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Upacara Serah Terima Tugas Pengarah JHEV ATM Negeri Sembilan/Melaka oleh Mejar Nik Anuar Nik Man kepada penggantinya, Mejar Mohd. Wazli Laili di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Mohd. Noor berkata, Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia itu bermula 2012 bagi menyediakan kediaman selesa kepada veteran ATM yang belum mempunyai rumah dan hidup dalam kemiskinan.

"Tahun ini JHEV ATM menerima peruntukan hampir RM8 juta bagi menjayakan program ini yang matlamatnya membantu veteran tentera miskin dan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri yang selesa," katanya.

Menurutnya, tahun ini 1,200 permohonan daripada veteran tentera diterima pihak JHEV ATM bagi program ini.

 

Sumber: Utusan Melayu