SEREMBAN-Semangat keperwiraan yang ada dalam diri anggota keselamatan tidak hanya terpakai sewaktu dalam perkhidmatan, sebaliknya erti perjuangan itu hendaklah terpahat dalam hati agar tersemai sepanjang waktu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seperti bekas anggota tentera hendaklah jiwa kepahlawanan itu terus mekar walaupun bersara dan dibawa elemen pengorbanan itu ke dalam masyarakat, sekali gus kekal sebagai pejuang negara.

“Walaupun telah bersara, kepakaran mahupun kepimpinan sewaktu berkhidmat dalam pasukan keselamatan, khususnya anggota tentera boleh-lah digunakan dalam masyarakat untuk membimbing mereka menjadikan suasana yang lebih sejahtera, aman dan maju ke hadapan,” katanya di sini malam tadi.

Mohamad berucap pada majlis makan malam dan pelancaran kempen Tabung Pahlawan Demi Perwiraku Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban.

Yang turut hadir isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharum; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Datuk Mohd. Noor Daud; Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat), Lft. Jeneral (B) Datuk Abd. Aziz Ibrahim; Panglima 1 Briged, Datuk Adnan Abu Bakar dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd. Yusof.

Kata Mohamad lagi, perjuangan membela bangsa ini tidak boleh ada zon pembatas sebaliknya hendaklah terus dihamparkan agar nikmat keamanan itu dapat dikecapi oleh generasi akan datang.

“Perjuangan itu perlu disuburkan dan jangan dipadamkan selepas bersara. Sebagai ahli masyarakat, saya menyatakan adanya keperluan untuk melihat bekas anggota ke-selamatan ini berada dalam lapisan masyarakat dan bersama-sama membangunkan negeri dan negara ini,” tegasnya.

Mohamad menjelaskan, pada dewasa ini ramai yang tidak tahu untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan negara yang sejak sekian lama berkorban untuk memastikan negara ini aman dan rakyatnya boleh melakukan pelbagai aktiviti dengan selesa.

Dalam majlis itu, kerajaan ne-geri melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) turut menyumbang RM100,000 untuk mengisi tabung berkenaan.