majlis ramah tamah aidilfitri dan pjm saratok

 

SARATOK, 5 Ogos 2014 - Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata sumbangan dan jasa hero atau pejuang kemerdekaan sememangnya tidak pernah dilupakan sampai bila-bila.

Katanya jasa golongan ini akan terus dikenang dan disanjung khususnya menjelang Bulan Kemerdekaan."Kerajaan tidak pernah mengabaikan jasa dan pengorbanan bekas tentera atas kesedaran bahawa pengorbanan mereka itu adalah sebahagian daripada penyumbang kepada kejayaan negara untuk mencapai kemerdekaan. Pada dasarnya pengorbanan golongan ini tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Pengorbanan mereka yang sanggup menggadai segala-galanya demi negara yang tercinta wajar dijadikan renungan semua pihak."

“Jika kita mengimbas kembali jasa golongan ini mereka sanggup menggadai jasad malah dalam perjuangan ditempuhi ada antara mereka kehilangan anggota badan menyebabkan mereka cacat seumur hidup,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Majlis Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini kelmarin.

Justeru, masayarakat tidak sewajarnya lupa dengan sumbangan golongan ini kerana melalui pengorbanan mereka generasi kini dapat mengecapi nikmat kemerdekaan yang tiada tandingan jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Tambahnya, sebagai menghargai sumbangan besar bekas tentera, kerajaan sentiasa menyalurkan peruntukan bagi memastikan lebih banyak aktiviti dilaksanakan oleh persatuan untuk membantu ahli-ahli yang memerlukan.

Mengulas mengenai krisis air di Parlimen Saratok, Abdul Wahab berkata situasi seumpama ini mendatangkan rasa kecewa kepada semua pihak.

“Kami memandang serius masalah ini, justeru kami mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap perkembangan Loji Perawatan Air Kaki Wong.

“Kami mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab membina loji terbabit agar memastikan kerja-kerja di loji itu dapat disiapkan dengan segera,” jelasnya.

Abdul Wahab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka berkata, krisis ketiadaan bekalan air bersih yang melanda Saratok beberapa minggu lalu berlaku disebabkan keadaan cuaca panas berpanjangan dan fenomena El Nino sehingga memberi impak besar kepada 45,000 penduduk.

Beliau menjelaskan, situasi ini berkait rapat dengan cuaca panas berpanjangan di daerah ini menyebabkan sumber air yang dipam oleh Loji Perawatan Air Nanga Lichok yang membekalkan sumber air kepada penduduk di kawasan ini kekeringan.

Jelas beliau, kerajaan melalui Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM120 juta membina loji perawatan air terbesar di Sarawak di Kaki Wong di sini.

Pada majlis tersebut, Abdul Wahab turut menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 26 orang bekas tentera dari sekitar bahagian Betong.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid, Pemanca Sahari Gani dan Kaunselor Muhammad Duri.

 

Sumber : The Borneo Post