Logo JHEV

SARATOK- Sumbangan veteran tentera kepada negara ini amat berharga sekali dan wajar dikenang sepanjang masa, khususnya di kalangan generasi muda.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, perjuangan golongan ini telah membolehkan generasi kini mengecapi nikmat kemerdekaan yang tidak terdapat di sesetengah negara lain.

Ramai  antara kita sudah lupa pentingnya sumbangan veteran tentera kepada negara ini, yang telah menggadai nyawa untuk mempertahan kedaulatan negara daripada segala bentuk ancaman.

Jika kita menilai dan melihat sumbangan golongan ini, ia tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Semangat wujud pada sanubari dan jiwa golongan ini bertarung nyawa demi bangsa dan negara harus dihargai semua pihakh katanya.

Wahab berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Malaysia (PV-ATM) dan Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada ahli-ahli PV-ATM Cawangan Saratok di sini, kelmarin.

Menurut Wahab, rakyat di negara ini sewajarnya terus memperkukuh rasa cinta akan negara kerana  hanya dengan cara ini nilai-nilai kemerdekaan dapat dipertahan.

Beliau  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N33 Kalaka, turut mengingatkan golongan veteran tentera agar terus memainkan peranan positif kepada masyarakat.

Seperti yang kita tahu, golongan tentera ini mempunyai tahap disiplin diri amat tinggi dan disegani ramai. Justeru,  kita mahu golongan ini turut memain peranan berganding bahu dengan semua peringkat untuk menerus dan menyemai imej positif ini kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara dan bangsa pada masa depan,h katanya.

Jelasnya,  kita tidak mahu golongan ini beranggapan bahawa persaraan merupakan hari terakhir menaburkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.

Sementara itu, Mejar Jeneral Datuk Steven Mundaw pada majlis yang sama turut berkata, anggota veteran tentera harus memanfaatkan dengan sebaiknya persatuan yang telah ditubuhkan itu.

Banyak manfaat yang boleh diperolehi jika kita semua bergabung dalam persatuan. Melalui persatuan kita dapat menyuara pendapat dan menyampai sebarang bentuk masalah kita.

Pada masa sama juga, melalui persatuan juga, kebajikan dan sosial ahli akan lebih terjamin kerana persatuan mempunyai tanggungjawab besar memperjuang hak ahlinya, sejajar dengan matlamat dan objektif utama persatuan ini ditubuhkan, kata Steven.

Dalam majlis yang sama juga, Wahab turut mengumumkan geran berjumlah RM20,000 kepada PV-ATM Cawangan Saratok.

Turut hadir Pengerusi PV-ATM Cawangan Saratok Sahari Gani, Pegawai Daerah Saratok Mohd Ikmal Abdullah, Pengarah JHEV Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhed serta 150 ahli PV-ATM Cawangan Saratok.

 

Sumber:The Borneo Post