Logo JHEV

BUTTERWORTH, 18 Mei 2014- Dulu keletahnya mungkin membuatkan penonton tidak kering gusi namun kini pelakon komedi yang lebih dikenali sebagai Mamu atau Rahim Dalmia tidak mampu lagi membuat penonton ketawa.

Mamu atau nama sebenarnya Rahim Lalmia, 57, kini terlantar di rumah adiknya di Desa Murni, Sungai Dua di sini, selepas disahkan lumpuh separuh badan selain tidak mampu bercakap akibat angin ahmar.

Adiknya, Jamil Lalmia, 55, berkata sebelum ini Mamu menetap di Kuala Lumpur dan menceburi bidang seni sebagai pelawak selepas berhenti daripada pasukan tentera.

“Dia mula menjadi pelakon sekitar 2003 selain pernah membintangi filem Tak Ori Tapi Ok pada 2005 bersama pelakon AR Badul dan Nasha Aziz.

“Pada 2004, abang sulung saya ini pernah menyertai kumpulan sketsa Isketambola bersama Mohd Tamrin, Musly Ramli serta S Azli dan mereka selalu membuat persembahan di majlis tertentu,” katanya.

Jamil berkata, dia menerima panggilan dari seorang kenalan abangnya pada pertengahan Mac lalu yang memberitahu abangnya itu terlantar di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah ketika sedang minum bersama rakan.

“Selepas 20 hari dimasukkan ke wad HKL baru kami mendapat tahu berita berkenaan dan segera ke sana untuk melihat keadaannya. Ketika ditemui, abang tidak mampu bercakap selain doktor mengesahkan dia lumpuh separuh badan di bahagian kiri.

“Kami membuat permohonan untuk memindahkan abang ke Hospital Kepala Batas (HKB) supaya senang untuk menjaganya,” katanya.

Katanya, selepas dua minggu di HKB, abangnya dibenarkan pulang dan tinggal di rumah seorang adiknya, Seriah Bee Dalmia, 52, di Sungai Dua, di sini.

Seriah yang juga seorang ibu tunggal berkata, dia memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos pembelian susu dan lampin pakai buang abangnya itu.

“Saya tidak bekerja dan hanya bergantung wang PERKESO arwah suami sebanyak RM800 sebulan manakala perbelanjaan susu dan lampin pakai buang abang saya mencecah RM960 sebulan.

“Sehubungan itu, saya harap ada pihak yang sudi membantu untuk meringankan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Mohammad Yusoff Mohd Noor yang melawat Rahim berkata, pihaknya akan membantu untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Dalam lawatan itu, Mohammad Yusoff turut menyampaikan sumbangan kerusi roda, barang keperluan harian selain sumbangan peribadi.

 

Sumber: HARIAN METRO