Logo JHEV

 

ITU antara slogan yang menjadi penguat semangat kepada bekas perajurit negara Noor Mohamad Lawamiah, 57, ketika menentang musuh komunis pada suatu ketika dahulu. Beliau menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia dalam Unit Gerak Khas sejak berusia 18 tahun, pada 1977. Noor Mohamad atau mesra dipanggil sebagai Pak Non berkata walaupun usianya begitu muda ketika itu, namun semangat untuk menentang musuh mengatasi segala ketakutan.

“Memang banyak kenangan manis, tak ada yang pahit apabila saya hanya fikirkan untuk mempertahankan negara.

“Perasaan takut berdepan dengan musuh saya buang jauh-jauh, biarlah saya korban mengangkat senjata demi mempertahankan negara walaupun nyawa mungkin tergadai,” katanya penuh semangat kepada Sinar Harian, ketika ditemui di kediamannya, baru-baru ini.

Darah anak muda yang memasuki pasukan keselamatan pasti membuak-buak apabila ada tawaran untuk menjejak dan melawan musuh durjana yang cuba meragut keamanan negara. Pada usia 21 tahun, Pak Non menawarkan diri untuk menyertai Ops Sedar Gubir, di Sik, Kedah bagi mengesan dan menjejak musuh komunis atau Bintang Tiga.

“Kita masa itu, kalau pegawai tanya kita siapa yang nak pergi masuk hutan, semua orang berebut nak sertai operasi, termasuk saya.

“Saya masa operasi dalam unit gerak khas atau komando dalam kumpulan kecil lima orang perlu masuk ke hutan menjejak jerangkap samar yang dipasang komunis.

“Ketika ini memang musim pejuang kita selalu kena jerangkap samar ini dan mengalami pelbagai kecederaan anggota badan dan maut,” katanya.

Selain itu, Pak Non berkata penglibatannya dalam Ops Selamat Sawadee juga memberi pengalaman yang bermakna apabila perlu bekerjasama bersama pasukan tentera dari Thailand untuk menjejak komunis.

“Ops Selamat Sawadee juga saya pernah terlibat, ia dilakukan di sempadan Thailand di Perak bagi menjejak komunis dari negara jiran dan Malaysia serta tempat persembunyian mereka.

“Lain operasi lain cabarannya. Bagaimanapun kita semua tidak pernah mengeluh siapa pun musuh kami tempuh dengan semangat dan tiada gentar,” katanya dengan riak semangat.

 

Letupan hancurkan kaki.

Pada pagi Syawal 5 Ogos 1979, tatkala insan lain meraikan kemenangan besar setelah berpuasa sebulan Ramadan, Pak Non masih menjejak musuh bersama empat rakannya yang lain.

Bagaimanapun, dalam semangat memburu musuh, Pak Non berkata keterujaannya dengan seekor beruang telah mengakibatkan kaki kanannya hilang.

“Ketika saya bersama empat rakan lain sedang bergerak meneruskan misi menjejak musuh, tiba-tiba saya terpandang seekor beruang sedang menggaru-garu pokok.

“Saya teringin lihat dengan lebih dekat, saya pergi menghampiri bekas garuan beruang tersebut, dan ketika itulah saya tersilap langkap kaki saya terkena jerangkap samar yang dipasang komunis pada perdu pokok tersebut.

“Kaki kanan saya putus dan terpelanting, begitu juga badan saya melambung dan jatuh ke tanah,” ujarnya mengimbau detik paling mencabar dalam hidupnya ketika bergelar perajurit.

Pak Non berkata, ketika insiden tersebut segala rawatan kecemasan terpaksa dilakukan bersendirian memandang rakannya juga dalam keadaan kesusahan.

“Masa itu, saya terpaksa bagi rawatan kecemasan sendiri, terpaksa suntik ubat sendiri sementara unit bantuan kecemasan tiba untuk memberi rawatan sepenuhnya. Masing-masing kena jaga diri sendiri,” katanya.

Sesiapa yang menerima nasib sama dengan Pak Non mungkin ada yang trauma dan menyesal. Namun tidak bagi Pak Non, baginya insiden tersebut adalah pengorbanan dan menjadi kebanggaan untuk mempertahankan ibu pertiwi.

“Saya tak pernah menyesal, sedih atau nak salahkan sesiapa, tapi saya lebih bersemangat dan berbangga dan mempunyai sesuatu untuk dikenangkan sebagai perajurit. “Kalau saya lihat kaki saya yang cacat, baju askar saya dan koleksi gambar lama saya akan tersenyum sendiri kerana berasakan pengorbanan saya sesuatu yang berbaloi berbanding remaja sekarang yang hilang kaki sebab merempit,” katanya lagi.

 

Hidup perlu diteruskan.

Berbekalkan elaun orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM150 dan elaun pencen sebanyak RM545 sebulan, Pak Non meneruskan kehidupannya dengan membantu perniagaan jeruk madu anaknya di sekitar bandar raya ini.

“Saya berkhidmat lebih 23 tahun dalam askar, dengan kadar elaun pencen dan OKU itu tidak begitu mencukupi, kita harap pihak terlibat kaji semula elaun pesara bagi OKU tentera kerana berjuang untuk negara,” katanya.

Walaupun kehidupannya kini tidak lagi bergelumang dengan penjahat dan mengangkat senjata, namun disiplin dalam pasukan ketenteraan masih diterapkan dalam kehidupan seharian Pak Non.

“Saya sehingga ke hari ini nak kelihatan kemas sahaja. Baju mesti nak masukkan dalam seluar, rambut nak kemas dan pendek, dan baju mesti berkolar.

“Saya juga memang cukup tegas dan berdisiplin dalam mendidik anak saya. Sedarlah anak muda, sekarang ini kita tengok mereka leka sebabnya negara sudah aman tak perlu angkat senjata lagi berjuang,” kata Pak Non.

Namun, katanya, anak muda perlu mengetahui sejarah keamanan negara dan pengorbanan yang dilakukan orang zaman terdahulu supaya semangat patriotik dapat diterap.“Saya sarankan kerajaan atau mana-mana agenda terlibat adakan motivasi, panggil bekas tentera dan perajurit yang pernah berperang dengan musuh untuk memberi motivasi atau ucapan kepada mereka.

“Baru mereka boleh tahu betapa seksanya kita pada zaman dahulu untuk hidup senang seperti sekarang. Anak muda janganlah leka, janganlah buat aktiviti tak berfaedah seperti merempit dan sebagainya yang akan merosakkan diri sendiri,” tegasnya.