Logo JHEV

NIBONG TEBAL 10 Sept. - Tujuh bekas anggota tentera menerima bantuan pembinaan rumah baharu melalui program anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Panglima Briged Keenam Infantri, Brigedier Jeneral Mohd. Zakaria Yadi berkata, melalui program berkenaan, sebanyak RM370,000 diperuntukkan kementerian berkenaan sepanjang tahun lalu sehingga pertengahan tahun ini.

"Proses pembinaan dan membaiki rumah telah dilaksanakan sepenuhnya oleh Kor Kejuruteraan ATM dalam tempoh enam minggu melibatkan kawasan di Perlis, Kedah dan negeri ini.

"Bagi kategori satu iaitu pembinaan rumah baharu, sebuah rumah dibina dengan kos seba-nyak RM45,000 yang mempunyai tiga bilik tidur, dua tandas, dapur, ruang makan dan ruang tamu. Syaratnya, pemohon mesti memiliki tanah sendiri manakala RM11,000 untuk program baiki semula," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar selepas menyerahkan tiga buah rumah kepada penerima di sini semalam.

Mohd. Zakaria berkata, anggota veteran ATM yang memerlukan bantuan boleh membuat permohonan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan akan mendapat pertimbangan sewajarnya.

"Program ini secara tidak langsung menunjukkan kebajikan veteran ATM sentiasa diberi perhatian. Selain itu, ini juga sebagai salah satu cara kita menghargai sumbangan yang diberikan mereka kepada negara sepanjang berkhidmat," katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Zaini Ibrahim, 52, berkata, dia gembira kerana permohonannya diluluskan dan rumah baharunya telah siap di Pokok Sena, Kedah.

"Selepas menamatkan perkhidmatan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), saya bekerja sendiri dan menyewa rumah. Kini selepas rumah yang dipohon siap, saya dapat berjimat kerana tidak perlu membayar sewa lagi," katanya.

Bagi waris kepada seorang penerima, Irwan Ali pula berkata, ayahnya, Ali Rashid, 56, dijangka menginap di rumah yang telah siap dibina di Simpang Empat dekat sini dalam tempoh terdekat.

"Ayah saya telah berkhidmat dalam ATM selama 18 tahun dan selepas menamatkan perkhidmatan, dia bersama-sama ibu, Zaida Harun tinggal di rumah anak-anak di Kuala Lumpur.

"Hari ini, dia tidak dapat hadir kerana baru sahaja selesai menjalani pembedahan dan yang pasti, ayah teruja kerana impiannya untuk menetap di kampung selepas bersara tercapai," katanya.

 

Sumber : Utusan Malaysia