TUARAN, 17 April 2014 - Para veteran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) digesa bersatu padu dan bekerjasama dalam satu persatuan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM cawangan Sabah, Lt Kol Adnan Ariffin berkata, setiap veteran perlu memahami dan mengambil tahu setiap insentif, faedah serta keistimewaan yang disalurkan oleh kerajaan bagi membantu para veteran ATM.

"Ini termasuklah bantuan sara hidup, bantuan persekolahan atau melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi anak-anak veteran, bantuan rawatan perubatan atau gantian anggota palsu (cacat kekal).

"Juga bantuan perumahan serta sumbangan khairat kematian veteran atau waris," katanya ketika berucap pada sesi dialog di Dewan Majlis Daerah Tuaran di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan adalah lawatan Adnan yang pertama bagi bertemu dengan para veteran dan bekas tentera Malaysia.

Seramai 60 orang veteran dari pelbagai perkhidmatan yang terdiri dari Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan ahli-ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia(PBTM) Cawangan Tuaran serta seramai 30 srikandi, beliawira dan beliawanis PBTM Cawangan Tuaran hadir pada majlis tersebut.

Lawatan berkenaan adalah program dalam rangka lawatan Adnan ke cawangan-cawangan PBTM seluruh daerah di negeri ini setelah mengambil alih jawatan berkenaan daripada Mej Mat Jiamin Maddalasiyang bersara pada Mac tahun lalu.

Terdahulu, PBTM daerah berkenaan yang dipimpin oleh Ketua Cawangan Ahmad Haroon mengadakan mesyuarat agung tahunan ke-23 yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua PBTM Sabah, Sanon Saparitserta Majlis Tertinggi PBTM.

Sanon dalam ucapannya berkata, veteran ATM di daerah ini yang belum menjadi ahli PBTM disarankan untuk mendaftar sebagai ahli agar pihaknya dapat memberi perhatian dan pemantauan kebajikan mereka dari masa ke semasa.