BAU- Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Wira Mohd Noor Daud menggesa semua veteran bersara dan tidak bersara ATM agar mendaftar sebagai ahli persatuan veteran.

 

Gesaan tersebut disampaikan oleh Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw yang mewakili beliau pada Majlis Jasamu Dikenang yang berlangsung di Dewan Suarah di sini semalam.

Selain menggesa veteran yang belum mendaftar agar berbuat demikian, Mohd Noor menurut Mundaw juga menggesa para veteran termasuk balu dan anak-anak mengemas kini maklumat peribadi agar tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Sementara itu, Mundaw dalam ucapannya memberi jaminan semua ahli veteran di negeri ini khasnya akan mendapat bantuan sewajarnya selagi beliau masih memegang jawatan sebagai Panglima 1 Divisyen.

Ini kerana, menurut beliau, kebajikan veteran merupakan agenda utama beliau sebagai Panglima 1 Divisyen.

“Pintu pejabat saya terbuka untuk semua veteran, balu dan juga anak-anak veteran ATM  yang mempunyai masalah berkaitan veteran.

“Jika ada masalah atau kemusykilan untuk mengisi borang atau lain-lain urusan berkaitan veteran, anda boleh rujuk ke pejabat saya yang dibuka di tiap-tiap kem di negeri ini.

“Janji saya, selagi saya Panglima 1 Divisyen, saya akan pastikan semua veteran ATM dibantu tidak kira yang bersara atau tidak bersara termasuk balu dan anak-anak veteran,” katanya.

Majlis tersebut sempena penyampaian sumbangan khas program Dasar Warga Emas Negara (DWEN)-1 Veteran, penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) serta sumbangan veteran cedera perang, balu tentera, anak veteran OKU disusuli dengan mesyuarat agung tahunan 2015.

Mundaw turut menasihati ahli-ahli veteran supaya terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan supaya dapat menjadi contoh kepada orang lain.

Pengalaman yang dipelajari dalam perkhidmatan dahulu, katanya, harus diguna pakai untuk menyumbang ke arah pembangunan rakyat, negeri dan negara.

“Saya difahamkan ramai dalam kalangan veteran kita yang dilantik sebagai ketua kampung dan itu pada saya amat bagus kerana dalam perkhidmatan kita telah dilatih menjadi ketua.

“Bagi mereka yang tidak begitu maju atau kurang bernasib baik selepas tamat perkhidmatan kita akan bantu sama juga ketika dalam perkhidmatan di mana kita saling bantu-membantu antara satu sama lain ketika berhadapan dengan situasi sukar,” ujarnya.

Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Muda Pembangunan Komuniti dan Pembangunan Estet Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie yang juga ADUN Tasik Biru.

 

Sumber : The Borneo Post