KUALA LUMPUR 15 Julai 2014 - Golongan pesara tentera disarankan supaya menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai jurulatih bagi membolehkan kepakaran dalam bidang ketenteraaan diwarisi generasi muda. 

 

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud berkata dengan penyertaan itu mereka boleh mendidik pelatih PLKN dalam berkongsi pengalaman ketenteraan. 

Katanya, sumbangan veteran ATM dalam pelbagai bidang masih diperlukan oleh negara terutamnya bagi membimbing golongan muda. 

"Selain daripada latihan ketenteraan, sumbangan seperti memberi ceramah motivasi sangat diperlukan kerana bekas anggota ATM masih bersemangat kental dalam mempertahankan negara daripada ancaman luar dan semangat itu harus diterapkan dalam jiwa generasi muda," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Sempena Aidilfitri kali ini, Mohd Noor berkata JHEV turut memberi sumbangan kepada 28 pesakit buah pinggang yang terdiri daripada 19 veteran ATM dan sembilan orang bukan veteran ATM. 

Sumbangan yang diberikan berupa wang tunai RM300 dan cenderahati untuk veteran ATM dan RM150 kepada bukan veteran ATM. 

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata terdapat dua kumpulan veteran ATM yang terlibat dengan PLKN. 

Katanya, bagi kumpulan pertama, sebanyak 1,500 bekas anggota tentera terbabit sebagai jururlatih fizikal di 81 kem PLKN di seluruh negara. 

"Selepas melalui proses temu duga bagi menentukan kesesuaian dengan modul PLKN, mereka kemudian dipilih berikutan persamaan modul ketenteraan yang pernah dipelajari mereka yang kini sama dengan modul fizikal PLKN," katanya. 

Abdul Hadi berkata, kumpulan kedua pula terdiri daripada mereka yang dianugerahkan pingat seperti Pingat Gagah Berani dan Pingat Setia Pahlawan akan diminta menjadi penceramah. 

 

Sumber: BERNAMA