KUALA LUMPUR- Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum memiliki rumah pertama setelah bersara boleh memohon untuk mendapat kemudahan tersebut melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).

Setiausaha Agung Persatuan Veteran ATM (PVATM) Lt Kol (B) Tajul Ariffin Chu Johari berkata pesara tentera terbabit boleh memohon dengan syarat mempunyai tanah ataupun tanah pusaka atau tanah milik ibu bapa mereka supaya pasukan jurutera ATM boleh membina rumah tiga bilik di bawah program berkenaan.

Perkara itu antara program Strategi Lautan Biru Negara yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012, katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-enam Persatuan Bekas Tentera British Malaysia (PBABM), di sini hari ini.

"PVATM sudah membuat kajian, ada dalam kalangan veteran ini yang belum memiliki rumah setelah bersara, maka kita telah memohon kerajaan memberi kouta khas Projek Perumahan Rakyat kepada mereka dengan syarat mereka perlu memiliki tanah," katanya.

Tajul Ariffin berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM45,000 untuk pembinaan rumah tersebut di Semenanjung dan RM50,000 bagi Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata PVATM sedang mengkaji bantuan kepada veteran tentera yang tidak berpencen dari segi pemberian bantuan kewangan secara "one-off" seperti yang dilaksanakan pada 2013.

Dua tahun lepas, kerajaan memberi bantuan kewangan secara "one-off' sebanyak RM1,000 kepda veteran tentera yang tidak berpencen dan bercadang membuat bayaran sekali lagi sekurang-kurangnya RM500 setiap seorang.

"Kami juga amat berterima kasih kepada kerajaan yang meluluskan permohonan kami agar menaikkan bayaran elaun sara hidup bulanan veteran dan balu yang daif kepada RM300 sebulan tahun ini, daripada RM200," katanya.

Tajul Ariffin berkata PVATM juga berharap kerajaan dapat membantu isteri dan anak-anak anggota tentera yang telah diberhentikan kerana masalah disiplin dari segi perubatan percuma dan bantuan pengajian ke insitusi pengajian tinggi.

"Ramai anak veteran yang cemerlang tetapi tidak mendapat tempat di IPTA dan IPTS kerana tidak mampu," katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Presiden PBABM Datuk Rahmat Ismail.

PBABM yang merupakan persatuan tertua di Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai 'Ex-Services Association of Malaya' (ESAM) dan diterima menjadi Anggota Gabungan 'British Empire Services League' pada 22 Mei 1922.

 

Sumber: BERNAMA