Logo JHEV

Abu Bakar Siddiq (kiri) meninjau pembinaan rumah balu bekas tentera, Zaiton Yahya di Kampung Chetok, Pasir Mas

 

PASIR MAS- Kerajaan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada veteran tentera yang berada di pusat pemindahan selepas rumah mereka dilanda bah kuning baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Vete­ran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kelantan dan Terengganu, Kolonel Abu Bakar Siddiq berkata, bantuan tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung veteran tentera akibat musibah berkenaan.

“Keutamaan bantuan ini akan diberikan kepada anggota yang berpindah sahaja, namun mereka perlu mengisi borang yang boleh diambil di pejabat.

“Sehingga kini 4,000 permohonan sudah diterima di Kelantan manakala di Terengganu pula sebanyak 300,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan rumah kepada isteri bekas anggota tentera Zaiton Yahya, 52, di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kampung Chetok di sini hari ini.

Abu Bakar memberitahu, pihaknya masih dalam proses me­ngenal pasti anggota veteran tentera yang kehilangan rumah atau mengalami kerosakan akibat bah kuning itu bagi memudahkan usaha membantu mereka.

“Kerajaan sentiasa komited dalam membela nasib golongan veteran tentera yang ditimpa kesusahan,” ujarnya.

 

Sumber : Utusan Malaysia