Logo JHEV

SIBU: Anggota Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dipertimbangkan untuk berkhidmat atau dilantik menjadi ketua masyarakat, ketua kaum, kapitan, ahli-ahli lembaga dan agensi-agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata beliau boleh menyokong percalonan mana-mana bekas veteran ATM ke dalam jawatan-jawatan tersebut.

“Persatuan Veteran ATM boleh mengemukakan calon mereka yang didapati sesuai untuk mengisi mana-mana jawatan dalam komuniti kepada saya.

“Ini kerana segala pengalaman mereka semasa berkhidmat dengan ATM dahulu sangat kita sanjungi dan kita yakin mereka boleh meneruskan kecemerlangan lampau dalam tanggungjawab menjaga komuniti,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-7 Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Cawangan Sarawak di sini, petang semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden PBTLDM merangkap Yang Dipertua (YDP) PBTLDM Cawangan Sarawak Thomas Ling, YDP PBTLDM Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan Mohd Fauzi Abdul Wahab, Penasihat PBTLDM Cawangan Sarawak Dato Sri Joseph Ting dan Pengerusi Tetap PBTLDM Cawangan Sarawak, Frederick Guan.

Dr Annuar berkata, setelah sekian lama menjaga keamanan negara anggota veteran ATM dianggap salah satu golongan yang sesuai menjawat jawatan dalam komuniti.

“Diharap lebih ramai golongan ini bersedia berkhidmat dalam komuniti. Saya bersedia mengemukakan dalam apa juga bentuk sokongan untuk menyokong pencalonan anda.

“Khidmat anda masih diperlukan walaupun sudah bersara kerana masyarakat sangat menghormati golongan yang banyak berjasa kepada negara,” ujarnya.

Sementara itu, beliau meminta agar PBTLDM mengutamakan kebajikan ahli-ahlinya kerana golongan veteran cenderung menghadapi sebarang penyakit.

Dr Annuar berkata, sesebuah persatuan tidak hanya bergantung kepada jumlah ahli menjadi kuat asalkan bergerak aktif.

“Tidak bermaksud bilangan ahli yang kecil menjadi penghalang bergerak aktif dan dianggap tidak kuat. Sesebuah persatuan memainkan peranannya melalui ahli serta penerajunya boleh melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk mesyuarat,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ling turut mengemukakan lima usul pada AGM kali ini untuk dibentangkan.

Usul-usul itu memohon kerajaan negeri melantik anggota veteran ATM menjawat jawatan dalam komuniti, ahli lembaga dan agensi kerajaan di setiap daerah atau kawasan.

Selain itu, PBTLDM juga mahu kerajaan negeri mengurniakan Pingat Bintang Sarawak (PBS) kepada veteran ATM, mempercepat pembayaran segala tuntutan, memberi geran peruntukan tahunan tetap kepada persatuan dan menyediakan bilik kelas pertama dan kedua kepada veteran di hospital.

“Ini adalah sejajar dengan slogan perjuangan kami ‘Ahli Didahulukan, Kebajikan Diutamakan’. Diharap kerajaan negeri dapat mempertimbang usul-usul itu,” katanya.

 

Sumber : The Borneo Post