KUCHING - Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia Sarawak (PVTTBMNS) disyorkan supaya memainkan peranan lebih proaktif terutama mendekati generasi muda.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan berbuat demikian mereka boleh berkongsi pengalaman agar generasi muda lebih memahami tentang perjuangan serta jasa pasukan keselamatan.

“Saya berharap persatuan memainkan peranan dengan turun ke sekolah-sekolah selain menjalin kerjasama dengan persatuan seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Persatuan boleh menjelaskan lagi tentang fakta sejarah selain berkongsi tentang pengalaman dan perjuangan anda,” katanya berucap pada majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) PVTTBM yang dihadiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia Mejar Jeneral Datuk Wira Mohd Noor Daud dan Yang Dipertua PVTTBM Daud Ibe di sini, semalam.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga penaung persatuan berkata, persatuan perlu mengadakan perbincangan dengan PIBG untuk menganjurkan program untuk menerapkan nilai kefahaman dalam kalangan anak-anak muda.Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, ia kerana keamanan, keharmonian serta kesejahteraan yang dinikmati masa kini adalah hasil daripada perjuangan mereka.

Perkara seperti itu, katanya, tidak harus dipandang ringan kerana ia akan menyebabkan masyarakat berada terlalu selesa sehingga ia membawa ancaman.“Kita tidak boleh berasa terlalu selesa dengan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati kerana ia boleh tergugat bukan disebabkan musuh dari luar tetapi masyarakat kita sendiri.

“Ia boleh dilihat kini apabila bibit-bibit perpecahan sudah ketara kerana kita selalu berasa selesa dengan apa yang kita ada, perkara seperti ini cabaran berat yang kita hadapi,” tegasnya.

Jelas beliau, kini musuh sebenar yang boleh mengugat perpaduan masyarakat adalah dari segi senjata halus iaitu menggunakan teknologi, yang harus ditangani semua pihak termasuk persatuan veteran. Mengulas lanjut mengenai persatuan, Fadillah berkata beliau akan berusaha untuk membantu mereka dengan memohon bantuan sara hidup RM300 daripada kerajaan persekutuan kepada ahli yang layak.

Beliau semalam turut mengumumkan bantuan RM5,000 sebagai peruntukan awal kepada PVTTBMNS untuk mereka menjalankan operasi. “Bagaimanapun bagi program lain, kita akan salurkan kemudian dan melihat kepada kesesuaian program yang dipohon,” katanya.

Sementara itu, Daud dalam ucapannya berkata, seramai 32 penerima PJM dan ia adalah program berterusan di mana ramai lagi akan menerimanya pada masa akan datang. “Ia sebagai memberi penghargaan kepada bekas veteran kita selain menjaga kebajikan mereka yang telah berjuang ini,” katanya.

Pada majlis semalam seramai 32 ahli PVTTBMNS menerima pingat masing-masing.

 

Sumber : The Borneo Post