MESRA...Mejar Jeneral Datuk Md. Zahir Abdul Rashid (kanan) bersama Leftenan Kolonel (B) Abu Bakar Abu Hassan bertemu penduduk kampung di Manek Urai semasa menyerahkan bantuan bekalan asas kepada mangsa pascabanjir di Kelantan baru-baru ini.

 

“NAIB baik makanan tengah hari yang dibawa masih berbaki, jika tidak sukar juga untuk kami makan malam kerana tiada keperluan asas dan bahan mentah di restoran yang kami singgah ketika membantu mangsa banjir di Gua Musang.”

Demikian cerita Mejar (B) Idrus Mat Isa, 58, ketika menceritakan pengalaman menyertai misi bantuan pascabanjir di Kelantan baru-baru ini.

Pengalaman berlapar itu katanya, merupakan sebahagian daripada cabaran yang dihadapi ketika melaksanakan misi berkenaan.

Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kelantan, beliau bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Skuad Intake 30-18 menggerakkan usaha bagi mengumpul bantuan dan menghulurkan tenaga bagi meringankan beban mangsa.

Dari Gua Musang katanya, mereka kemudiannya bergerak pula ke tempat lain seperti Kampung Manjor dalam keadaan lapar dan meneruskan perjalanan ke Kampung Sungai Durian untuk menghantar segala bekalan makanan sebelum sampai di Pasir Puteh.

“Kami hanya menikmati hidangan makan malam pada pukul 3 pagi setelah semua kerja berkaitan selesai,” katanya.

Idrus merupakan sebahagian daripada kumpulan veteran tentera yang turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang menghadapi pelbagai kesukaran dan dugaan untuk menempuh kehidupan pasca banjir.

Sifat keprihatinan yang tinggi ditunjukkan oleh ahli Skuad Intake 30-18 dengan menggerakkan rakan-rakan dari seluruh negara untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.

“Sekali bergelar askar, sampai mati digelar askar. Kalau dikerah untuk berperang sekalipun, kami tetap sanggup walaupun sudah bersara,” ujarnya.

Sementara itu, Idrus berkata, keadaan pascabanjir di kawasan tersebut begitu teruk dan menyedihkan kerana kebanyakan mangsa telah kehilangan tempat tinggal akibat dihanyutkan arus deras.

“Ada mangsa yang hanya termenung mengenang nasib mereka dalam keadaan hujan dan gelap memikirkan kehidupan selepas banjir dan mengharapkan bantuan secepat mungkin. 

“Keperluan asas yang sangat diperlukan ketika itu dapur dan gas untuk digunakan bagi memasak selain daripada barangan asas yang lain,” ujarnya.

Sebagai bekas pegawai tentera yang telah banyak menabur bakti dan mempunyai pengalaman dalam pelbagai misi keselamatan dan bantuan kemanusiaan, Idrus berkata, banjir yang melanda kali ini merupakan antara bencana terburuk di negara.

Sementara itu salah seorang bekas pegawai tentera yang turut menyertai misi tersebut, Lt. Kol.(B) Abu Bakar Abu Hassan, 60, berkata, walaupun tidak melibatkan kematian yang tinggi, bah itu merupakan bencana yang banyak memberi kesan kepada rakyat di negara ini.

“Kesan kemusnahan yang dapat dilihat terutama tempat tinggal dan juga harta benda seolah-olah seperti dilanda tsunami. 

“Perasaan menjadi bertambah sedih dan hiba selepas kami melihat kanak-kanak yang sebaya dengan cucu kami tidur tanpa tilam dan bantal sebaliknya hanya beralaskan simen. 

“Sesetengah masyarakat kampung hanya tinggal dalam khemah di tepi jalan dengan anak-anak yang masih kecil dan menghadapi malam bau lumpur yang busuk,” katanya yang telah terbabit dengan pelbagai misi bantuan kemanusiaan seperti di Acheh dan Pakistan ketika dalam perkhidmatan beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli skuad tersebut, Mejar (B) Narudin Bujang, 61, berkata, banyak pengajaran serta hikmah di sebalik kejadian banjir yang berlaku tempoh hari.

“Kita perlu menjaga dan ‘menjalin’ hubungan baik dengan alam sekitar seperti gunung-ganang dan bukit bukau yang saling berhubung kait dengan persekitaran hidup kita,” ujarnya.

Skuad Intake 30-18 dianggotai seramai 220 orang termasuk Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersama -sama menjalani latihan asas ketenteraan pada tahun 1976 di Maktab Tentera Diraja Malaysia, Kem Sungai Besi.

Walaupun sebahagian daripada mereka sudah bersara, ikatan kuat dalam kalangan ahli masih jelas kelihatan apabila sentiasa berhubung antara satu sama lain.