KUALA LUMPUR 28 Ogos 2014 - Seluruh rakyat Malaysia perlu menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara baik sebelum mencapai kemerdekaan mahupun selepas Malaysia muncul negara berdaulat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ismail Ahmad berkata, anggota keselamatan negara tidak pernah berasa berbelah-bahagi untuk menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara biarpun nyawa menjadi taruhannya.

Sambil mengimbau kembali sejarah pengorbanan perajurit negara, beliau berkata, hasil kecekalan dan keberanian anggota keselamatan, Malaysia muncul satu-satunya negara di dunia berjaya menyekat teori domino komunis yang hampir melumpuhkan demokrasi pada tahun 1960-an.

"Malaysia berjaya mematahkan peperangan gerila yang dicetuskan pengganas komunis kerana semangat juang serta mentaliti anggota keselamatan negara. Mereka yang kini sudah pun bergelar veteran tetapi masih gagah dan utuh semangat patriotiknya kepada negara.

"Ini hadiah yang amat besar dan semua pihak perlu menzahirkan penghargaan terhadap anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan jiwa dan raga demi Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan majlis 'Pahlawan Jasamu Sentiasa Dikenang' anjuran bersama PV-ATM dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di ibu pejabat akhbar itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden PV-ATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Sementara itu, Mohd. Noordin dalam ucapannya pula berkata, Kumpulan Utusan akan memainkan peranan secara agresif khususnya melalui kempen di akhbar-akhbar terbitan syarikat tersebut untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan Sambutan Hari Pahlawan.

Menurutnya, beliau yakin melalui pendekatan itu dan ditambah pula dengan sokongan pihak-pihak berwajib, sambutan orang ramai kepada Hari Pahlawan akan meningkat sekali gus memastikan kutipan untuk Tabung Hari Pahlawan bertambah baik berbanding sebelum ini.

 

Sumber : Utusan Malaysia