Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi mengenang jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh Anggota-anggota Tentera Malaysia dan juga anggota-anggota pengaman dari luar negara di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menegakkan keamanan sepanjang perkhidmatan tempoh darurat.

Penganugerahan pingat ini telah diperkenalkan pada tahun 2007 yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM). PJM adalah merupakan ‘Campaign Medal’ yang dianugerahkan kepada warga ATM dan anggota negara luar yang layak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan tanpa mengira sama ada sedang berkhidmat atau telah bersara/menamatkan perkhidmatan dan masih hidup atau telah meninggal dunia.

Syarat-syarat kelayakan bagi penganugerahan pingat ini adalah seperti berikut:

  1. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari 6 bulan dimana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau,
  2. Telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) atau,
  3. Telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang Pengganas Komunis Malaya (PKM) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 atau Pengganas Komunis Kalimantan (PKKU) bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.

Permohonan juga terbuka untuk veteran yang telah meninggal dunia, di mana waris boleh membuat permohonan.

​Antara syarat-syarat permohonan ialah dikehendaki menyertakan salinan Buku BAT D 86/92 atau Sijil Berhenti Pasukan Sukarela ATM atau Surat Pengesahan Perkhidmatan atau Dokumentasi Tamat Perkhidmatan sebagai pengesahan kelayakan. Borang Permohonan PJM yang boleh dimuat turun melalui laman web JHEV di http://www.jhev.gov.my/

Sehubungan dengan itu, JHEV mengalu-alukan sebarang permohonan bagi penganugerahan pingat ini dikemukakan terus kepada Ibu Pejabat JHEV ATM. Permohonan juga boleh dikemukakan melalui Persatuan/Kelab Veteran ATM yang berhampiran atau mana-mana pejabat cawangan Negeri JHEV ATM.