Logo JHEV

.

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN SALAM 1MALAYSIA

 

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan berkat dan kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk berinteraksi  di alam maya ini menerusi portal JHEV ATM. Saya berasa amat bertuah dan berbangga kerana diberi kesempatan mencurahkan khidmat bakti serta bekerjasama dengan seluruh warga Jabatan bagi menjaga urusan dan kebajikan Veteran ATM supaya mereka terus menjadi aset kepada negara dan masyarakat.

Kepada pengunjung yang sudi melayari portal rasmi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) diucapkan selamat datang dan terima kasih yang tidak terhingga. Dengan adanya portal JHEV ATM ini  dilihat sebagai suatu pemudah cara bagi menyalurkan maklumat selain meningkatkan lagi komunikasi dua hala di antara Jabatan dan masyarakat khususnya warga Veteran ATM.

Sebagai sebuah Jabatan yang berperanan menjaga hal ehwal dan kebajikan Veteran ATM, adalah penting bagi kami untuk mempertingkatkan keberkesanan segmen penyampaian maklumat yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat umum dari masa ke semasa. Menyedari bidang teknologi informasi hari ini merupakan satu medium berkesan dalam aspek penyampaian maklumat, kami sentiasa peka dan berusaha untuk menyampaikan maklumat dengan lebih cepat dan tepat melalui portal JHEV ATM sejajar dengan penggunaan teknologi maklumat yang semakin meluas kini.

Veteran ATM disaran menyertai persatuan atau kelab Veteran ATM yang telah berdaftar dengan JHEV ATM sama ada di peringkat negeri dan daerah di seluruh negara. Ini kerana penglibatan Veteran ATM dalam persatuan dan kelab ini akan dapat membantu Veteran ATM memperolehi maklumat-maklumat terkini malah memudahkan JHEV ATM menyalurkan maklumat dan bantuan kebajikan kepada veteran dan tanggungan mereka.

Saya turut berbesar hati mempelawa dan mengalu-alukan orang ramai mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan  bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan portal ini. Sebarang maklum balas, pandangan dan saranan boleh diajukan kepada Webmaster Jabatan agar portal ini terus menjadi wacana yang berkesan dan bermanfaat kepada semua pihak bersesuaian dengan moto  JHEV ATM ‘Kesejahteraan Veteran ATM Keutamaan Kami’.

 

Sekian, terima kasih.

MEJAR JENERAL  DATO' MOHAMAD KHIR BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH
JABATAN HAL EHWAL VETERAN ATM
KEMENTERIAN PERTAHANAN