Logo JHEV


 

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpahan rahmat serta keizinan - Nya kita berjaya melaksanakan Retreat Hala Tuju Kementerian Pertahanan 2017 baru - baru ini.
Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat.Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT.

Tahun 2016 merupakan tahun yang amat mencabar bagi kita di Kementerian Pertahanan. Namun, hasil gerak kerja dan komitmen tinggi semua pihak, kita berupaya menterjemahkannya menjadi tahun yang berjaya dan membanggakan.

Dan saya percaya, tahun 2017 pasti lebih mencabar.Tidak boleh tidak, kita perlu mengharunginya sekali lagi seterusnya memastikan tahun 2017 lebih cemerlang berbanding tahun - tahun sebelumnya.

Berbalik kepada Retreat Hala Tuju Kementerian Pertahanan 2017, jelas ia merupakan platform penting dalam menentukan perjalanan, strategi dan pendekatan kita tahun ini.Malah, segala perbincangan dan perkongsian sepanjang retreat ini wajar menjadikan kita lebih bersemangat dan bersatu hati untuk melunaskan amanah dan tanggungjawab masing - masing.

Perjuangan kita di Kementerian Pertahanan ini bukan mudah.Ia merupakan perjuangan memartabatkan agama, membela bangsa dan memelihara kedaulatan negara.Ia juga perjuangan yang tidak seharusnya bersandarkan kepada kemahuan mengejar pangkat, jawatan mahupun pujian.Berjuanglah dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. Berjuanglah kerana kasih dan cinta terhadap negara. Berjuanglah bak seorang 'satria' dan hero negara.

Kita mesti menyedari, betapa setiap langkah dan tindak tanduk kita bakal memberi kesan yang akan dirasai setiap lapisan masyarakat.Bermula daripada meniup roh dan semangat bernegara kepada anak - anak belia menerusi Program Latihan Khidmat Negara(PLKN), mengatur gerak anggota bagi mengawal sempadan dan setiap inci tanah negara, melaksanakan Projek Jiwa Murni bagi membantu rakyat menghadapi situasi sukar seperti banjir dengan membaikpulih rumah dan jambatan, menempatkan Hospital Medan bagi memberi rawatan perubatan, sehinggalah kepada berkongsi kisah jerit perih serta suka duka perjuangan pahlawan terdahulu untuk dijadikan tauladan dan inspirasi kepada generasi hari ini.

Hakikatnya, ia hanyalah sebahagian kecil daripada peranan besar yang perlu dimainkan Kementerian Pertahanan.Namun, ia sudah cukup untuk menceritakan betapa Kementerian ini amat penting dan bermakna kepada negara.Malah, jika kita menelititi bait - bait terakhir dendangan lagu Negaraku, 'Raja Kita, Selamat Bertakhta' .Kita seharusnya menyedari bahawa situasi 'selamat' itu adalah terletak di atas bahu kita yang berada di Kementerian Pertahanan. Segala keputusan dan tindakan kita hari ini, bakal menentu kejayaan, kedaulatan dan keamanan tanah air tercinta ini di hari esok.

InsyaAllah.

'MINDEF, Nadi Negaraku'.

Selamat berjuang.

Terima kasih.

Hishammuddin Hussein
Menteri Pertahanan

-Twitter: http://www.twitter.com/HishammuddinH2O
-Facebook: http://www.facebook.com/HishammuddinH2O
-Instagram: http://www.instagram.com/HishammuddinHussein
-YouTube: http://www.youtube.com/pandanghadapan