Faedah Kematian (Balu, ibubapa, anak-anak serta penjaga)

  1. Faedah kematian adalah faedah yang dibayar kepada waris anggota yang meninggal dunia iaitu samada balu, ibubapa, anak-anak atau penjaga. Jika anggota meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan dan kematian itu tidak diperkaitkan dengan tugas, orang tanggungan akan dibayar Pencen Terbitan (PT) dan Ganjaran Terbitan (GT); atau Pencen Orang Tanggungan (POT) dan Ganjaran Orang Tanggungan (GOT). Proses dokumentasi bayaran ini dibuat di JRP dan seterusnya dihantar ke JHEV untuk bayaran.
  2. Jika sekiranya kematian tersebut diperkaitkan dengan tugas, orang tanggungan boleh dibayar POT selain daripada PT. Pengesahan ini adalah melalui LPS di BPK. Termasuk juga Ex-Gratia Orang Tanggungan (EXOT), dibayar kepada orang tanggungan bagi anggota yang meninggal dunia selepas 1 Jan 2001 dan kematian tersebut disahkan diperkaitkan dengan tugas.
  3. Waris perlu memaklumkan kepada JHEV jika waris yang sedang menerima PT/POT/EXOT telah meninggal dunia.
  4. PT/POT/EXOT akan terhenti :

    1. Apabila anak telah mencapai umur 21 tahun atau berkahwin atau telah tamat pengajian ijazah pertama di IPT. Bagi anak yang cacat, pencen ini adalah untuk seumur hidup jika beliau belum berkahwin dan tak mampu menanggung nafkahnya sendiri.
    2. Apabila telah mencapai tempoh 20 tahun dari tarikh persaraan sekiranya berkahwin selepas TTP.

Faedah Kematian

  1. Jika pegawai atau anggota meninggal dunia dalam perkhidmatan dan kematian itu tidak diperkaitkan dengan tugas, orang tanggungan akan dibayar Pencen Terbitan dan Ganjaran Terbitan atau Pencen Orang Tanggungan dan Ganjaran Orang Tanggungan.
  2. Sekiranya kematian tersebut diperkaitkan dengan tugas, orang tanggungan boleh dibayar Pencen Orang Tanggungan selain daripada Pencen Terbitan.
  3. Jika pesara meninggal dunia, orang tanggungan atau waris hendaklah menghubungi JHEV dengan segera bagi membolehkan pencen perkhidmatan gemulah dihentikan dan boleh dipindah bayar kepada orang tanggungan sebagai Pencen Terbitan.
  4. Urusan dokumentasi oleh balu. Jika pesara meninggal dunia, orang tanggungan perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut dan dimajukan ke Bahagian Pencen, JHEV untuk tindakan:

    • Kad Pesara asal/ 2 salinan Kad Pesara / 2 salinan Buku Pengakuan Perkhidmatan.
    • Salinan kad pengenalan balu atau penerima pencen.
    • Salinan Sijil Kematian pesara.
    • Salinan kad pengenalan atau Sijil Kelahiran anak-anak pesara di bawah umur 21 tahun dan belum berkahwin.
    • Salinan Sijil Nikah atau Surat Cerai (jika telah bercerai) di antara balu dengan gemulah.
    • Salinan asal Surat Pengesahan Penjagaan Anak dari Pesuruhjaya Sumpah, Mahkamah atau Pejabat Kadhi yang berdekatan (jika balu telah bercerai atau anak gemulah dijaga oleh orang lain).
    • Salinan muka hadapan buku akaun bank dan Borang Penyertaan Sistem Pembayaran Pencen Melalui Bank (BQ-BP-03) yang telah disahkan oleh Pegawai Bank yang berkenaan.
    • Borang Maklumat Orang Tanggungan Kepada Pesara Tentera Meninggal Dunia (BQ-BP-04) yang telah dilengkapkan dan disahkan.

Pencen Terbitan dan Pencen Orang Tanggungan (Susunan 6 atau 9) akan terhenti :

  1. Apabila anak telah mencapai umur 21 tahun atau berkahwin atau telah tamat pengajian ijazah pertama di IPT.
  2. Bagi anak yang cacat, pencen ini adalah untuk seumur hidup.
  3. 20 tahun dari tarikh persaraan sekiranya berkahwin selepas bersara.

Elaun Pelajaran.
Jika balu adalah penerima Pencen Orang Tanggungan pada kadar tetap mengikut Susunan 6 atau 9, anak beliau boleh diberi elaun pelajaran sebanyak tidak lebih daripada RM685.00 setahun.