Logo JHEV

Umum

1.Siapakah yang dikategorikan sebagai Veteran ATM?

Warganegara Malaysia yang telah memberikan perkhidmatan sepenuh masa di dalam angkatan keselamatan yang terdiri dari bekas anggota-anggota:

  1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM);
  2. Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa;
  3. Pasukan Force 136;
  4. Tentera British yang berkhidmat di Malaya/ Singapura (British Army); dan
  5. Sarawak Rangers

 

2.Berapakah jumlah Veteran ATM?

Jumlah mereka dianggarkan seramai 450,000 orang. Secara purata seramai 5,000 anggota tetap ATM meninggalkan perkhidmatan setiap tahun.

3.JHEV mempunyai Majlis Penasihat Hal Ehwal Veteran ATM Peringkat Kebangsaan dan di semua negeri. Apakah peranan Majlis tersebut?

Majlis Penasihat Hal Ehwal Veteran ATM (MPHEV) di peringkat kebangsaan dan negeri merupakan platform bagi mengenalpasti permasalahan serta jalan penyelesaian yang sesuai untuk dijalankan oleh JHEV di peringkat kebangsaan dan negeri. Ini kerana, MPHEV dianggotai oleh badan-badan kerajaan dan juga pihak swasta.

MPHEV Kebangsaan dipengerusikan oleh YB Menteri Pertahanan manakala MPHEV Negeri pula dipengerusikan oleh EXCO Kerajaan Negeri berkaitan.

4.Adakah sebarang keistimewaan yang diberikan oleh Kerajaan kepada Veteran ATM?

Selain skim-skim bantuan oleh JHEV, semua kategori Veteran ATM layak mendapat rawatan perubatan percuma di hospital / klinik kerajaan, mengikut kriteria yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan

5.Bagaimana menjadi ahli Veteran ATM?

Warganegara Malaysia yang pernah menyertai mana-mana perkhidmatan keselamatan seperti ATM, Pasukan Simpanan ATM yang dikerah sepenuh masa, Force 136,Sarawak Rangers & Tentera British yang berkhidmat di Malaya/Singapura adalah Veteran ATM yang layak dipertimbangkan untuk mendapat perkhidmatan-perkhidmatan dari JHEV.

6.Adakah Veteran ATM boleh mendapatkan rawatan secara percuma di Institut Jantung Negara (IJN)?

Veteran ATM layak untuk mendapat rawatan percuma. Namun yang demikian Veteran ATM yang ingin mendapatkan rawatan di IJN hendaklah terlebih dahulu diperiksa dan kemudiannya dirujuk oleh mana-mana hospital kerajaan.

7.Apakah perbezaan peranan antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan JHEV?

Mulai tahun 2002 PERHEBAT hanya akan menjalankan peranan sebagai pusat latihan dan kursus kepada bakal pesara tentera, termasuk bekas tentera iaitu Veteran ATM.Manakala JHEV akan berperanan dalam hal-hal berkaitan kebajikan, penjodohan pekerjaan ( job matching ), pembangunan usahawan, pembayaran pencen kepada Veteran ATM, selaras dengan peranan sebagai one stop agency.

8.Apakah yang dikatakan sebagai hospital / klinik Kerajaan?

Mana-mana hospital / klinik yang ditadbir oleh kerajaan termasuklah mana-mana hospital universiti dan lain-lain Yayasan Perubatan Persekutuan. (RSAT dan HAT adalah tergolong dalam definisi ini)

9.Bagaimana dengan Homeguard, Pasukan Pertahanan Negeri dan Wataniah di hujung minggu?

Kesemua mereka bukan Veteran ATM sebagaimana definisi yang ditetapkan. Ini bermakna JHEV tidak mempunyai bidang kuasa untuk menangani permasalahan mereka.

10.Adakah JHEV mengiktiraf persatuan/pertubuhan/kelab yang ditubuhkan oleh Veteran ATM?

JHEV mengiktiraf persatuan / pertubuhan / kelab yang ditubuhkan oleh Veteran ATM selagi mana ianya berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan 1966.