𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟴 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟰 - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato' Haji Semaon bin Haji Marjuki. Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan inisiatif-inisiatif terbaru yang ditawarkan oleh PERKESO, antaranya ialah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Dalam pertemuan tersebut, PERKESO telah memaklumkan bahawa mereka menawarkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dengan kadar harga yang amat berpatutan, bermula dengan RM23.30 setahun, berbanding harga biasa sebanyak RM232.80 setahun.
Tawaran khas ini hanya sah sehingga akhir tahun 2024 dan ia bertujuan untuk memberikan perlindungan sosial kepada golongan yang bekerja sendiri, termasuk veteran ATM dan pasangan serta anak veteran yang terlibat dalam sektor pekerjaan bebas atau perniagaan kecil.
Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, antara lain menggariskan bahawa skim ini merupakan langkah penting untuk memastikan golongan pekerja sendiri mendapat akses kepada perlindungan keselamatan sosial, terutamanya dalam menghadapi risiko ketidakupayaan untuk bekerja akibat kemalangan atau penyakit.
Beliau menekankan bahawa inisiatif ini membuka peluang yang sangat baik kepada komuniti veteran ATM untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial yang lebih lengkap dan mampan.
Jalinan kerjasama antara PERKESO dan JHEV ATM ini nanti, diharapkan penyertaan lebih ramai individu dalam komuniti veteran ATM dapat menikmati manfaat daripada perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik, selaras dengan matlamat memperkasakan taraf hidup veteran dan keluarga mereka.
Bahasa
English 