Skip to main content

faq

FAQ

hubungi

Contact Us

maklumbalas

Feedback

peta

Site Maps

News Archive
PARIT MAHANG, SENGGARANG, BATU PAHAT,  29 November 2025  - Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) melaksanakan enam projek pembangunan dan dua program kemasyarakatan di bawah Program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025 yang berlangsung di Kampung Parit Mahang, Batu Pahat.
Program berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Marjuki, sebagai sebahagian usaha dasar Malaysia MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui penambahbaikan kemudahan asas serta pengukuhan peranan komuniti. Kampung Parit Mahang merupakan salah satu daripada 19,511 kampung seluruh negara yang terpilih menerima manfaat pembangunan tersebut.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, malah memastikan kemudahan kampung dipelihara secara lebih sistematik demi kesejahteraan penduduk, khususnya komuniti veteran. “Inisiatif ini bukan hanya menaik taraf infrastruktur, tetapi memastikan kemudahan kampung dipelihara dengan lebih tersusun demi kesejahteraan penduduk dan komuniti veteran amnya,” katanya.
Melalui peruntukan RM1 juta, enam projek prasarana berjaya disiapkan JHEV ATM dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat. Antara projek berkenaan ialah naik taraf Surau Nur Al-Iman, pembinaan dewan terbuka, naik taraf gelanggang serbaguna dan Masjid As-Syakirin, naik taraf stor simpanan serta penggantian pagar tanah perkuburan. Selain itu, perolehan peralatan ICT dan pemasangan penghawa dingin turut dilaksanakan di Balai Masyarakat.
“Kami komited menyokong pembangunan kampung dan memastikan kebajikan veteran serta masyarakat setempat sentiasa diberi keutamaan,” tambahnya.
Selain pembangunan fizikal, dua program kemasyarakatan turut dianjurkan iaitu Gotong-Royong Perdana dan Mini Karnival JHEV ATM, merangkumi pemeriksaan kesihatan, taklimat kerjaya, pameran ATM, slot keagamaan serta pelbagai aktiviti interaksi komuniti. Mini karnival tersebut disertai agensi termasuk Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen 501 Askar Wataniah, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Pasukan Perubatan 7 Briged Kluang, Klinik Kesihatan Senggarang, KEMAS, LPPKN dan PAWE Bukit Pasir. Reruai usahawan veteran ATM turut diadakan bagi menggalakkan penglibatan ekonomi komuniti setempat.
Dalam kenyataan JHEV ATM, program ini dilihat sebagai platform penting mengeratkan hubungan antara jabatan, komuniti veteran dan masyarakat umum, selaras dengan slogan “Pertahanan Negara, Tanggungjawab Bersama”. Kaunter maklumat JHEV turut dibuka bagi memberi penerangan berkaitan kebajikan, pencen dan peluang kerjaya untuk veteran ATM.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah, Puan Puteri Ab. Rahaman; Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy Ismail; Brigedier Jeneral Zulhelmi Bin Masdar
Panglima Briged Ke-7 Infantri Malaysia; Encik Amirul Shahir bin Ibrahim, Penghulu Mukim 10 Kampung Bahru; Encik Mohd Fauzi b. Mursidan, Ketua Kampung Parit Mahang dan Parit Lapis Mahang; Encik Kamarudin bin Kasim, Pengerusi Masjid As Syakirin Parit Mahang; Tuan Haji Ibrahim bin Haji Yahaya Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Negeri Johor serta kepimpinan kampung dan mukim.
Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih terjamin, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan
sosioekonomi penduduk. Usaha ini dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat amnya melalui peluang ekonomi, kesalinghubungan yang lebih baik serta
peningkatan taraf hidup keseluruhan.
Langkah ini menyerlahkan komitmen MINDEF dan JHEV ATM khususnya dalam melaksanakan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan
kemakmuran dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat. Pendekatan ini memastikan setiap komuniti, tanpa mengira lokasi, menikmati akses pembangunan yang setara,
pelindungan keselamatan yang lebih kukuh serta peningkatan kualiti hidup.

Total User Account

3659427
Today: 746
Total: 3,659,427

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

One Stop Centre (OSC) MAFVAD

Level G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Call Centre: 03-2697 6600

Head Office  Branches


Copyright 2024 © Malaysian Armed Forces Veteran Affairs Department