TEBEDU, 3 APRIL 2026 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Tebedu, Serian dalam usaha memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD).
Semasa lawatan tersebut, beliau telah menerima taklimat mengenai status operasi yang melibatkan enam pos keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia, selain meninjau perkembangan projek penyelenggaraan serta prasarana kem. Beliau turut meluangkan masa menyantuni anggota TDM dan TNI-AD yang sedang melaksanakan operasi di kawasan berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka dalam menjaga keselamatan sempadan negara. Lawatan ini adalah selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara iaitu Cegah Rintang Berpadu seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan 2020–2030 (KPP), yang memberi penekanan terhadap usaha melindungi kepentingan negara termasuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah meliputi domain darat, maritim, udara serta siber dan elektromagnetik daripada sebarang bentuk ancaman. Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki; Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Khairuddin bin Zakaria; Pegawai Memerintah Batalion Kesebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD), Leftenan Kolonel Badrul Hisham bin Ibrahim; CEO YVATM, Leftenan Kolonel Azwadi bin Jamian (Bersara); serta Mejar Muhammad Faiz bin Hashim.
Bahasa
English 