Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Berita

MAJLIS PELUNCURAN KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2025/2026

KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER 2025 - Penaung Kempen Tabung Pahlawan, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 bertempat di Dewan Zulkifeli Zin Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. Beliau turut diiringi Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki.
“Bertemakan Satu Rakyat 1 Ringgit, Demi Pahlawanku” Tabung Pahlawan adalah tabung bantuan kecemasan yang diwujudkan bagi manfaat komuniti veteran ATM yang memerlukan bantuan sokongan kecemasan tambahan bagi kumpulan veteran ATM yang tidak dapat disalurkan oleh kerajaan dalam keadaan tertentu. Sumbangan orang ramai melalui kutipan Kempen Tabung Pahlawan akan digunakan untuk hal-hal kebajikan khusus untuk para veteran ATM.
Inisiatif ini menzahirkan tanda penghargaan tertinggi kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia terhadap semangat juang para perwira negara dan pengorbanan keluarga mereka. Ia merupakan satu usaha yang bermakna dan memberi kesan besar kepada ekosistem pertahanan negara, veteran dan keluarga mereka.
Bagi tujuan kempen, pelbagai aktiviti telah direncanakan bertujuan meningkatkan kutipan dan memupuk kesedaran umum mengenai KTP. Antaranya ialah Pertandingan Pancing Amal, MyWarrior Run, Pertandingan Golf Amal, Majlis Peluncuran Kempen Tabung Pahlawan dan usaha-usaha lain yang memudahkan penyaluran sumbangan seperti mewujudkan QR Khas Kempen dan penempatan tabung fizikal KTP di lokasi-lokasi strategik seperti di stesen-stesen minyak BHP terpilih. Diharap aktiviti dan usaha ini dapat membantu mencapai sasaran kutipan sebanyak RM3 juta setiap tahun.
Terdahulu, YABhg. Penaung Kempen Tabung Pahlawan menerima sumbangan korporat dari para penyumbang dengan disaksikan oleh YB Menteri Pertahanan. Penyumbang-penyumbang tersebut terdiri daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Destini Prima Sdn. Bhd., Peluang Kristal Sdn. Bhd., PETRONAS, MBSB Bank Berhad, Desatera Sdn. Bhd., Malkraine Sdn. Bhd., Affin Bank Berhad, Rasumi Medipharma Sdn. Bhd., Kamatech Automotif & Engineering Sdn. Bhd. dan Affin Islamic Bank Berhad.
Majlis turut menyaksikan sesi Pertukaran Tiga Nota Kerjasama antara pihak Focus Point Vision Care Group, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu (UNISZA) dan Klinik Dr. Zulfikar dengan Yayasan Veteran ATM (YVATM) dan JHEV ATM dalam aspek kesihatan mata, kemudahan perubatan dan rawatan serta bidang pertanian bagi peningkatan sosioekonomi veteran ATM. Jalinan kerjasama ini akan membolehkan komuniti veteran ATM termasuk ibu bapa dan anak-anak veteran serta warga JHEV ATM sendiri, menikmati keistimewaan-keistimewaan tertentu dalam tempoh tiga tahun kerjasama.
Dalam pada itu, orang ramai boleh sama-sama membantu menyumbang kepada KTP melalui;
a. Sumbangan Online – Akaun Tabung Rayuan Hari Pahlawan, Affin Islamic Bank Berhad – 1059 5000 3201
b. Pembelian bahan promosi kempen seperti jualan t-shirt, mug dan lain-lain.
c. Sumbangan secara terus ke tabung fizikal KTP yang ditempatkan di stesen minyak BHP, lobi Kementerian Pertahanan dan di majlis-majlis KTP.
d. Penyertaan secara langsung dalam aktiviti-aktiviti KTP anjuran JHEV ATM seperti pertandingan memancing amal, pertandingan golf amal, larian amal dan lain-lain.
Turut hadir dalam majlis peluncuran ini ialah, Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Lokman Hakim bin Ali, panglima-panglima perkhidmatan, pegawai-pegawai tertinggi ATM dan awam, persatuan-persatuan veteran ATM dan wakil daripada penyumbang-penyumbang Kempen Tabung Pahlawan.

Bilangan Pelawat

3444095
Hari Ini: 826
Jumlah Pelawat: 3,444,095

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2024 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM