MENYANTUNI JASA WIRA: LAWATAN TIMBALAN MENTERI PERTAHANANKE KENINGAU DAN TAMBUNAN SEMPENA PROGRAM PEDULI VETERAN MADANI 2026
SABAH, 17 JUN 2026 – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) meneruskan komitmennya dalam memperkasakan kebajikan dan kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 yang berlangsung di daerah Keningau dan Tambunan, Sabah selama dua hari bermula 16 hingga 17 Jun 2026. Program yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari, merupakan siri jelajah pertama PVM di Sabah bagi tahun 2026. Beliau turut diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Encik Sophian Isswandy bin Ismail, Pengarah JHEV ATM Cawangan Sabah, Mejar Ismail bin Merah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM (YVATM), Leftenan Kolonel Azwadi bin Jamian (Bersara), petugas Jabatan Kebajikanan Masyarakat (JKM) Negeri Sabah Daerah Keningau dan Tambunan serta Persatuan Veteran ATM setempat. Program Peduli Veteran MADANI merupakan inisiatif berterusan kerajaan yang bertujuan mendekati veteran ATM secara langsung bagi memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi mereka. Melalui pendekatan turun padang, program ini menjadi platform interaksi dua hala antara MINDEF dan veteran ATM dalam usaha memastikan kebajikan golongan berkenaan terus diberi perhatian. Dalam siri lawatan tersebut, seramai 20 veteran ATM yang terdiri daripada golongan asnaf, pesakit kronik, balu serta keluarga yang mempunyai ahli Orang Kurang Upaya (OKU) telah disantuni. Pelbagai bentuk bantuan telah disampaikan termasuk peralatan perubatan, bantuan baik pulih rumah serta penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara. Selain menyampaikan bantuan, program tersebut turut memberi ruang kepada veteran ATM untuk berkongsi pandangan serta maklum balas berhubung isu-isu kebajikan yang dihadapi. Maklumat yang diperoleh akan membantu MINDEF dan JHEV ATM dalam merangka serta menambah baik pelaksanaan program bantuan pada masa hadapan agar lebih berkesan dan menepati keperluan veteran. Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan yang dilaksanakan, sebanyak 500 Bakul Rahmah turut disampaikan kepada persatuan veteran ATM setempat. Sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan veteran dan keluarga mereka, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat. Program Peduli Veteran MADANI dilaksanakan berasaskan lima fokus utama iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi. Fokus-fokus ini menjadi teras kepada usaha kerajaan dalam memastikan veteran ATM terus menikmati kehidupan yang lebih sejahtera selepas menamatkan perkhidmatan. Menurut rekod JHEV ATM, Sabah mempunyai seramai 7,893 veteran ATM berdaftar, dengan 855 veteran berada di daerah Keningau manakala 306 veteran di daerah Tambunan. Bagi tahun 2026, sebanyak RM850,423 telah diperuntukkan di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM Negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut, RM695,383 diperuntukkan bagi projek baik pulih rumah manakala RM155,040 bagi projek pembinaan rumah baharu. Pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menghargai jasa dan pengorbanan veteran ATM yang telah mempertahankan kedaulatan negara. Melalui kerjasama erat antara MINDEF, JHEV ATM, Yayasan Veteran ATM serta pelbagai agensi berkaitan, usaha memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan veteran akan terus diperkasakan demi memastikan tiada veteran yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
Bahasa
English 