Skip to main content

faq

Soalan Lazim

hubungi

Hubungi Kami

maklumbalas

Aduan

peta

Peta Laman

Arkib Berita
PAROI, NEGERI SEMBILAN, 15 JANUARI 2026– Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) terus komited dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI ATM (PVM ATM) yang dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM). Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari, telah mengadakan kunjungan kebajikan ke atas Veteran ATM di sekitar Paroi, Negeri Sembilan, sebagai usaha mendekati golongan veteran secara bersemuka bagi mengenal pasti keperluan sebenar mereka serta mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif-inisiatif kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Menerusi PVM ATM Paroi, YB Timbalan Menteri Pertahanan telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM kepada seorang Balu Veteran ATM di Kampung Sentosa, Paroi. Inisiatif ini bukan sahaja membantu Veteran ATM dan keluarga berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dan selamat, malah membuktikan komitmen berterusan MINDEF dalam membela nasib Veteran ATM khususnya golongan yang memerlukan. Sepanjang program berlangsung, YB Timbalan Menteri Pertahanan turut menyantuni 15 Veteran ATM yang terdiri daripada Veteran Asnaf, Balu serta Anak Veteran kategori Orang Kurang Upaya (OKU). Selain bertanya khabar dan mendengar permasalahan yang dihadapi, Sumbangan Rahmah, Bantuan Perubatan serta Peralatan Pesakit turut disampaikan kepada setiap keluarga yang dilawati. Turut diadakan Sesi Penyerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 5 Orang Veteran ATM dan 3 Orang Balu Veteran ATM sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka kepada negara. Dalam lawatan yang sama, YB Timbalan Menteri Pertahanan juga telah bertemu dengan seorang Veteran ATM yang pernah berkhidmat dalam British Army semasa era pasca-Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu. Sumbangan veteran tersebut, khususnya dalam membantu negara mengurus peralihan pentadbiran, menyokong pembentukan sistem pertahanan tempatan serta menghadapi cabaran mengawal jenayah setempat, disifatkan sebagai jasa yang amat besar dan sentiasa dikenang oleh negara.
Siri Program Peduli Veteran MADANI ATM kali ini dijadualkan berakhir pada 16 Januari 2026 di Asahan, dengan baki 13 Veteran ATM lagi akan diziarahi. Daripada jumlah tersebut, dua orang merupakan Usahawan Veteran ATM yang turut menerima bantuan keperluan perniagaan sebagai usaha memberi sokongan dan suntikan motivasi untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Program PVM ATM merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan MINDEF dalam menyokong agenda Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, termasuk usaha memperkukuh strategi peningkatan taraf sosioekonomi veteran melalui pelaksanaan Program Outreach Veteran ATM, khususnya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti. Turut hadir sepanjang program berlangsung ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Berhormat Dato’ Haji M K Ibrahim bin Abd Rahman, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Panglima Markas Briged Pertama Infantri Malaysia, Yang Berbahagia Brigedier Jeneral Dato' Zamri bin Othman, Leftenan Kolonel Azwadi bin Jamian (Bersara) selaku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sembilan, Yang Berbahagia Dato' Adnan bin Haji Ahmad, Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Muhammad Zarifi bin Haji Tumin, serta wakil-wakil Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan.

Bilangan Pelawat

3659395
Hari Ini: 714
Jumlah Pelawat: 3,659,395

facebook
tiktok
instagram
youtube
location
footer-logo

Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM

Aras G, Menara TH Perdana, 1001 Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2050 8000
Pusat Panggilan: 03-2697 6600

Ibu Pejabat  Cawangan


Hakcipta 2026 © Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM