• Laman Utama
  • Tentang Jabatan
  • Info
  • Berita
  • 𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗣𝗘𝗗𝗨𝗟𝗜 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗧𝗠 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗧𝗜𝗠𝗕𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗔𝗛𝗔𝗡𝗚

Berita

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗣𝗘𝗗𝗨𝗟𝗜 𝗩𝗘𝗧𝗘𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗧𝗠 𝗕𝗘𝗥𝗦𝗔𝗠𝗔 𝗧𝗜𝗠𝗕𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗡𝗚𝗞𝗔𝗧 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗔𝗛𝗔𝗡𝗚

Pahang, 28 Ogos 2023 - YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan telah melaksanakan Program Peduli Veteran (PPV) di sekitar Negeri Pahang yang turut diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YBrs Encik Sophian Isswandy bin Ismail dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Pahang, Mej Khairul Ashinar bin Azid @ Aziz TUDM.
Dalam program PPV kali ini, YB Adly telah meluangkan masa menyantuni veteran- veteran ATM di sekitar Pekan, Beserah dan Kuantan. PPV yang dilaksanakan ini merangkumi lawatan kebajikan ke atas Veteran ATM serta waris tanggungan yang mengalami sakit kritikal dan memerlukan rawatan serta veteran yang mempunyai anak Orang Kelainan Upaya (OKU). Lawatan kebajikan YB Timbalan Menteri Pertahanan kali ini dimulai dengan turutan seperti berikut :
1. Lt Kol Salleh bin Mohamad (Bersara) berusia 53 tahun di Rumah Keluarga Angkatan Tentera, Kem Batu 10, Kuantan. Beliau mengalami masalah kesihatan iaitu terlantar kerana strok akibat darah tinggi. Veteran baru sahaja menamatkan tempoh perkhidmatannya di dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja pada 17 Jun 2023 yang lalu dengan berpencen. Beliau mempunyai lima (5) orang anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Puan Roslina binti Ahmad dan veteran merupakan penerima bantuan lampin pakai buang.
2. Abdul Malek bin Salleh berusia 79 tahun dan sakit terlantar di Taman Tas, Kuantan. Veteran yang merupakan bekas anggota berpangkat Prebet pernah berkhidmat di dalam Kor Perkhidmatan Diraja selama 15 tahun serta tidak berpencen. Beliau yang menghidap strok mempunyai tiga (3) orang anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Puan Shamiah binti Md Jid berusia 74 tahun. Veteran hanya mempunyai pendapatan sebanyak RM 980.00 sebulan hasil daripada pencen Jabatan Perkhidmatan Awam.
Selain itu, YB Adly turut mengambil peluang mengunjungi usahawan veteran ATM yang berjaya di dalam bidang keusahawanan iaitu:
1. Abu Samah bin Osman berusia 77 tahun yang mengusahakan tanaman sayuran tempatan di Pekan.
Catatan:
Beliau merupakan seorang perwira yang telah berjasa bersama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 16 tahun, mendedikasikan hidupnya untuk mempertahankan negara.
Selama dalam perkhidmatan ATM, Veteran Abu Samah telah mengalami kehilangan anggota tubuh akibat terkena jerangkap samar ketika terlibat dalam Operasi Selamat Sawadee.
Sebagai bentuk penghargaan atas jasa dan pengorbanan beliau, Veteran Abu Samah telah dikurniakan bayaran pencen perkhidmatan oleh kerajaan Malaysia. Beliau turut menerima bantuan pencen hilang upaya dan bayaran insentif khas insurgensi.
Walaupun kehilangan anggota tubuh, Veteran Abu Samah tetap cekal mengusahakan tanaman sayuran tempatan sebagai sumber pendapatan tambahan.
2. Nordin bin Aladin berusia 54 tahun yang mengusahakan makanan sejuk beku Anasaji di Taman Indera Sempurna, Kuantan.
3. Paiman bin Ramlan berusia 56 tahun yang mengusahakan penternakan kambing, produk salai serta perkhidmatan urutan dan bekam di PPRS Pinggiran Putra 3, Kuantan.
Selain bertanya khabar, turut diselitkan penyampaian sumbangan sagu hati dan bakul makanan kepada veteran yang diziarahi serta penyampaian plaque penghargaan kepada usahawan yang dilawati.
Seterusnya, YB Adly meneruskan lawatan kebajikan kemudiannya diteruskan dengan menyantuni anak Veteran ATM adalah seperti berikut:
1. Allahyarham Abd Rani bin Mat di Kampung Rumbia, Berserah, Kuantan. Allahyarham mempunyai 7 orang anak dan 5 daripadanya berstatus OKU yang telah mengalami kebakaran kediaman. YB turut menyampaikan mock up cheque simbolik bantuan bencana alam dari JHEV ATM yang telah diluluskan bernilai RM 10k serta sumbangan bakul makanan.
2. Anak-anak yatim kepada Allahyarham Mohd Bakri bin Mustafa di Taman Seri Mahkota Aman, Batu 11, Kuantan yang telah kehilangan ayah dan ibunya pada Februari 2023. Allahyarham yang merupakan bekas anggota tentera berpencen berpangkat Flait Sarjan telah meninggalkan 5 orang anak. Anak sulung Allahyarham berusia 21 tahun telah diamanahkan untuk menjaga empat (4) orang lagi adik-adiknya di mana dua (2) orang daripadanya sedang bersekolah.
3. Apandi bin A.Hadi yang berusia 60 tahun di Taman Seri Mahkota Aman, Batu 11, Kuantan. Veteran yang merupakan bekas anggota berpangkat Sarjan pernah berkhidmat di dalam Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja selama 15 tahun serta tidak berpencen. Beliau yang menghidap penyakit darah tinggi mempunyai 5 orang anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Puan Zaidah binti Tamjis. Veteran tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan pendapatan daripada anaknya sahaja. Anak ketiganya merupakan mahasiswa OKU yang sedang mengambil Doctor of Philosophy (PhD) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan telah menerima beberapa anugerah khas yang boleh dibanggakan.
Pada malamnya, YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan telah hadir dalam program dialog santai bersama Persatuan Veteran ATM Negeri Pahang di Dewan Awangan Palace, Kuantan.
Dialog sinergi seperti ini sentiasa diadakan sebagai penghargaan terhadap para perwira negara yang telah berbakti dalam Angkatan Tentera Malaysia.
YB Adly Zahari turut menyampaikan kotak makanan dan sumbangan barangan keperluan kepada veteran yang hadir dalam program tersebut.